Insuran/Takaful untuk Ketenteraman Hidup

Penulis: Nora Ismail 

Hi, salam pengenalan!



Sebenarnya di Malaysia ramai sahaja yang faham akan kepentingan insuran/takaful. Namun begitu, adakah kefahaman kita ditunjukkan di borang kontrak? 

Berkecimpung sepanjang 10 tahun dalam bidang ini, dan membina rangkaian kawan-kawan dalam bidang yang sama, dapat disimpulkan bahawa kefahaman sebenar orang awam mengenai kepentingan insuran/takaful tidaklah secara total. Ini agak menyedihkan, memandangkan keperluan manfaat menjadi begitu mendesak terutama apabila sesuatu risiko kehidupan berlaku. Lebih sukar apabila manfaat tersebut hanya mampu menyelesaikan sedikit dari masalah mendatang. 

Tanyalah sesiapa, antara nikmat kehidupan yang amat disyukuri adalah ketenteraman hidup. Tiada gangguan dan masalah-masalah kehidupan seperti kehilangan tempat berteduh, masalah hutang, kekurangan makanan, keruncingan kewangan, rumah tanpa fasiliti asas contoh air dan elektrik. 

Bayangkan jika nikmat ini ditarik atau hilang? Apakah yang akan berlaku? Tidakkah ianya akan menimbulkan ketidak seimbangan hidup? 

Ini adalah antara objektif utama dalam memberi kefahaman kepada orang awam tentang insuran/takaful. Iaitu, memastikan kesinambungan kehidupan kekal seperti sedia kala walaupun berlaku musibah atau risiko kehidupan. Dalam kata yang lain, menjamin ketenteraman hidup terutama dalam urusan kewangan. 

Kita perlu sedar risiko kehidupan boleh memberi impak dalam kita melayari hidup seharian. Ia bukan sahaja mengganggu ritma aktiviti sehari, malah lebih sukar ia mencipta lubang psikologi, mental, kepenatan emosi malah lubang kewangan yang mendalam menjadikan seseorang itu sukar untuk bangkit semula. 

Seseorang tidak mungkin akan faham akan impak ini kecuali mereka yang berada di dalam lubang tersebut, samaada akibat sakit, hilang upaya diri atau penjaga orang sakit (caregiver).

Menderita sakit terutama dalam waktu yang lama memakan psikologi seseorang. Semangat juang untuk sembuh sukar untuk diteruskan jika perjuangan ini tidak disokong oleh sistem sokongan yang baik. Selain daripada ahli keluarga yang membantu dan memahami, sistem sokongan lain seperti rakan-rakan yang baik, kewangan yang stabil dapat membantu seseorang untuk terus berjuang. 

Itulah sebabnya tadbir urus kewangan mesti dilakukan seawal mungkin. Ia bukan sahaja memberikan ketenteraman hidup selepas musibah, yang lebih penting ia bertindak seperti payung, sudah siap tersedia walaupun hujan tidak turun.  

Dan, insuran/takaful menjadi wadah paling efektif kepada kita dalam menguruskan perlindungan pendapatan. Ia bukan sahaja membantu sebagai sistem sokongan kewangan, yang lebih penting mengetahui sudah ada jaminan ketenteraman hidup walaupun tiada risiko kehidupan berlaku. 

Comments

Popular posts from this blog

Panduan Memulakan Kerjaya Baru

Ijazah Sarjana Roti