Ijazah Sarjana Roti
Ijazah Sarjana Roti
(Seperti yang diceritakan kepada Penulis)
Penulis: Nora Ismail
Penulis: Nora Ismail
Ini adalah kisah tentang bagaimana saya melengkapkan Ijazah
Sarjana (Master’s Degree) Biologi dengan menjual roti.
Ya, betul. Sememangnya saya menjual roti untuk menampung
kelangsungan hidup sementara melengkapkan Ijazah Sarjana. Ini adalah kisah yang
tidak pernah saya ceritakan kecuali kepada ahli keluarga dan sahabat terdekat.
Bukan kerana malu, tetapi ianya terlalu peribadi. Namun, apabila diberitahu
oleh penulis yang kisah ini boleh membantu orang lain untuk tidak putus asa, saya
terpanggil untuk menceritakannya kepada anda.
Keluarga saya berasal daripada Johor, dan saya telah
melanjutkan pelajaran di dalam bidang Biologi di Universiti Malaysia Sabah
(UMS). Berada jauh daripada keluarga, telah menolak saya keluar dari kepompong
keselesaan, seterusnya memaksa saya untuk belajar menjadi lebih berdikari. Namun
itu tidak membuatkan saya lebih bersedia mengharungi tahun akhir pengajian
Ijazah Sarjana. Ketika inilah, saya
bangkit untuk melengkapkan pengajian dengan menjual roti.
Bagaimana ianya bermula
Sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana,
saya sudah tiga tahun menetap di Sabah. Saya amat meminati bidang biologi sejak
zaman persekolahan lagi. Ia sesuatu yang amat berlainan berbanding pelajaran
lain. Biologi memberi peluang kepada manusia untuk menghargai kehidupan sendiri
serta menggunakan akal fikiran yang telah diberikan untuk mengkaji organisma
lain.
Melanjutkan pelajaran peringkat tinggi di dalam bidang
biologi terus membuka peluang bagi saya melihat dunia dengan lebih luas. Bidang
ini mencipta laluan kepada saya melihat keperluan untuk melindungi ekosistem
dunia serta habitatnya. Tanpa sedar, ia berjaya membina keyakinan saya untuk
menyambung pelajaran, dengan harapan, saya juga boleh menyumbang kepada kesejahteraan
ekosistem negara.
Usai lengkap pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, pada
tahun 2007, saya berjaya melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Kajian
Sains. Pengajian ini memerlukan saya untuk masuk dan tinggal di dalam hutan,
mengkaji Badak Sumbu Sumatra. Kajian saya mengkhususkan kepada corak pemakanan
Badak Sumbu Sumatra, dan bagaimana ianya dapat mempengaruhi kesihatan mereka. Ia
di biayai sepenuhnya oleh Agensi dari US dengan menawarkan biasiswa lengkap
untuk sepanjang pengajian Ijazah Sarjana, serta wang sara diri sebanyak RM800
sebulan.
Keperluan untuk Menambahkan Sumber Kewangan
Biasiswa yang telah diberikan cukup-cukup untuk membayar yuran
pengajian, bil-bil serta keperluan harian lain. Namun, kerisauan datang jika
saya tidak dapat menyiapkan pengajian tepat pada masa. Ia menimbulkan rasa
cemas, bagaimana saya perlu meneruskan hidup dan pengajian jika terkandas di
tengah jalan. Saya perlu membayar yuran pengajian dan pelbagai komitmen lain
dengan sendiri. Baki pengajian tinggal lagi setahun, sesuatu perlu saya
lakukan. Saya perlu bertindak dan keluar dari zon selesa untuk menambahkan
sumber kewangan.
Pada mulanya, saya menawarkan diri untuk menjadi tutor
separuh masa, namun bayarannya terlalu kecil. Pekerjaan menjadi tutor ini
hanyalah tiga kali seminggu, dan di hari lain, saya memberikan tuisyen dengan
bayaran RM100 sebulan. Ianya tidak mencukupi. Saya perlu mencipta pendapatan
lebih kurang atau sama dengan apa yang saya peroleh sekarang. Saya perlu
mencari pekerjaan lain, kalau boleh, ketiga-tiga pekerjaan ini boleh di lakukan
serentak. Saya buntu dan perlu mencari alternatif untuk menambahkan pendapatan.
Matlamat saya jelas, namun jalannya masih berliku. Saya
perlu merancang untuk mencari pendapatan lain. Saya tidak mahu terkandas kerana
gagal menyiapkan thesis kajian, dan akhirnya terpaksa menyambung pengajian. Saya
tidak boleh mengambil risiko tersebut. Saya tidak boleh meminta bantuan
keluarga. Lagipun, ayah seorang pesara manakala ibu pula seorang suri rumah. Adik-adik
saya masih lagi belajar di sekolah menengah.
![]() |
| Roti?! Tak glamernya.... |
Semua ini berubah apabila salah seorang rakan memperkenalkan
perniagaan menjual roti di dalam kampus universiti. Menjual roti? Tak
glamernya!!! Kenapa mesti menjual roti? Bolehkah perniagaan ini berjaya?
Bermacam-macam perasaan saya keluar ketika idea ini diutarakan. Sukar untuk
saya menerima hakikat, apatah lagi untuk yakin yang perniagaan ini boleh
berjaya. Bolehkah dengan menjual roti, membantu meningkatkan kedudukan kewangan
saya? Di mana harus saya bermula? Bagaimana saya perlu bermula?
Setelah diyakinkan oleh rakan saya, saya berkira-kira untuk
meneruskan cadangan tersebut. Secara idealnya, pekerjaan ini mudah untuk dilaksanakan.
Saya hanya perlu mengambil bekalan dengan harga yang murah dan menjualnya
kembali kepada pelajar-pelajar universiti. Dan, margin keuntungan untuk setiap
roti yang berjaya di jual adalah RM0.90, saya hanya perlu menjual 110 buku roti
untuk mendapat RM100 sehari. Mudah bukan?
Lagipun, kampus kediaman wanita UMS ini besar dan mempunyai
ramai pelajar. Secara amnya, jika setiap seorang membeli sebuku roti, saya
hanya perlu berjumpa dengan 110 orang untuk menghabiskan roti saya. Kan?!!
Ujian Menjual Roti
Jadi menjual rotilah saya. Namun, timbul cabaran lain. Saya
tiada pengalaman. Bagaimana ianya harus dijual? Tidak guna punya keinginan,
namun, apabila berdepan dengan realiti, saya panik. Apa tindakan saya sekarang
apabila berdepan dengan ujian pertama dalam menjual, iaitu keyakinan menjual di
dalam diri. Saya di belenggu, kurang yakin dengan kemampuan diri. Tambahan
lagi, saya seorang yang pemalu dan tidak mudah untuk menegur orang yang tidak
dikenali. Bagaimana orang seperti saya boleh menjual?
Rakan berkata yang saya hanya perlu bermula, dan segala
perasaan tersebut akan hilang serta merta. Antara percaya atau tidak, perasaan
tersebut hilang apabila saya berjaya menjual roti yang pertama. Menjadikan
lebih menarik, perasaan itu di gantikan dengan semangat untuk terus menjual roti
sehingga habis.
Saya berjaya mencipta momentum menjual. Dari setiap bilik-bilik
yang dilawati, setiap tangga yang saya naiki, saya memikul bebanan roti-roti tersebut
tanpa terasa beratnya. Bayangkan
keseluruhan blok penginapan wanita UMS, mempunyai lebih kurang 20 blok, dan
setiap satunya terdiri daripada 4 tingkat tanpa lif. Saya harunginya dengan
roti penuh dibelakang. Di dalam fikiran saya ketika itu hanya mahu menjual kesemua
roti dan saya lakukan dengan penuh ketekunan, minat serta komitmen. Saya dapat
rasakan yang kebolehan menjual sebenarnya wujud di dalam diri ini.
Cabaran kedua di dalam menjayakan perniagaan ini adalah pengangkutan.
Saya tidak mempunyai kenderaan dan juga lesen kereta. Setiap hari saya perlu
membawa roti-roti tersebut dari kilang ke kampus, yang jaraknya lebih kurang
15km. Saya tidak boleh membawa roti-roti tersebut menaiki bas awam. Ia tidak
praktikal dan mengambil masa yang lama. Saya juga tidak boleh mengambil stok
roti di dalam kadar yang banyak, kerana saya tidak punya tempat untuk
menyimpan. Lagipun, berdasarkan pengamatan saya, pelajar-pelajar ini lebih suka
roti yang baru di masak, yang masih panas-panas berbanding roti-roti yang sudah
beberapa hari.
Penyelesaian yang mampu saya dapatkan pada ketika itu adalah
dengan menyewa motosikal dengan kadar RM100 sebulan. Perkhidmatan menyewa
motosikal di dalam kampus banyak di jalankan dan agak mudah untuk di cari.
Kadar sewaan juga bergantung dengan jenis motosikal dan kadar RM100 sebulan
boleh di kira agak munasabah serta mampu untuk disediakan oleh pelajar-pelajar
lain.
Cabaran ketiga, proses menjual roti. Ianya bermula setiap hari
selepas jam 7.30 malam hingga 10.30 malam. Pada ketika ini, kebanyakan pelajar
sudah berada di dalam kampus dan sudah mula lapar. Ini adalah masa yang paling sesuai
untuk menjual. Namun, itu bukanlah cabaran utamanya.
Setiap satu roti yang dibawa adalah seberat 150 gram. Setiap
hari saya perlu menjual 110 buku roti. Ini bermakna saya perlu mengangkat 17
kilogram roti untuk dijual di kampus. Ia jauh dari kudrat saya sebagai seorang
wanita. Ia berat, memang berat, tetapi bukan berat roti sahaja yang perlu saya
fikirkan.
Saya perlu memastikan bahawa setiap buku roti itu berada di
dalam keadaan baik. Tiada siapa yang akan membeli jika roti yang dijual kemek
dan benyek. Setiap roti tersebut di masukkan di dalam plastik besar, dan
dipikul ke belakang badan. Lagak saya, tidak ubah seperti seorang penjaja, yang
membawa berbuku-buku roti sambil mengetuk pintu bilik di dalam kampus.
Segalanya Berubah
Walaupun sukar, namun saya berjaya mengubah kedudukan
kewangan saya selepas itu. Saya berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM3000
sebulan hanya dengan menjual roti. Saya rasa amat bersyukur walaupun jalannya penuh
berliku.
Dengan wang tersebut, saya mampu untuk mengambil lesen
kereta, menghantar separuh kepada ibu di kampung, membayar yuran konvokesyen
dan membuat pelaburan amanah saham sebanyak RM80,000 di awal usia 20an saya
itu.
KINI, SELEPAS 8 TAHUN, saya gembira kerana memilih untuk
menjual roti ketika itu. Ianya pekerjaan yang tidak glamor malah tidak popular.
Namun, lebih daripada itu, ia memberikan pengajaran dan pengalaman paling
berharga di dalam diri.
Tiada siapa sangka, ia dapat membantu saya. Malah yang lebih
penting, ia mengubah pandangan saya mengenai kehidupan. Usaha mencari rezeki
adalah sesuatu yang murni walau apapun pekerjaan tersebut. Setiap satu
pekerjaan jika di lakukan dengan bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil
sebagaimana ianya diusahakan.
Keinginan saya untuk tidak mahu gagal dan mengaku kalah
sebelum berjuang berhasil. Saya hanya inginkan segengam Ijazah Sarjana untuk di
bawa pulang dan saya berjaya melakukanya dengan menjual roti.
End-
Anda mencari penulis?
Hubungi v6.violett@gmail.com..
Hubungi v6.violett@gmail.com..







Comments
Post a Comment