Penyakit Motor Neuron dari sisi seorang 'care taker'
Penulis: Nora Ismail
Post sebelum ini saya ada bagi hint tentang sakit suami. Post kali ini saya ceritakan serba sedikit tentang penyakit 'rare' ini, Penyakit Motor Neuron atau MND.
Penyakit ini memang rare. Dua minggu lepas, kami berjumpa dengan doktor
pakar kami di PPUM, beliau ada memberitahu hanya ada lebih kurang 100 orang
pesakit untuk sakit ini di sana sekarang.
Kurangkan kalau hendak di bandingkan dengan sakit lain seperti stroke,
kanser atau sakit jantung.
Mungkin ada yang terfikir, kenapa selepas empat tahun, baru sekarang
kami berani menulis tentang perjuangan sakit ini di publik? Salah satunya ada
sebab berat badan yang meningkat, dan suami masih lagi mampu berjalan walaupun
menggunakan alat bantuan berjalan.
Apabila suami mengalami penambahan berat badan (walaupun tidak banyak),
ia merupakan sesuatu yang menggembirakan. Kalau anda rasa apalah sangat nak
dikecoh-kecohkan dengan penambahan berat badan, ketahuilah, salah satu kesan
sakit ini adalah penurunan berat badan secara terterusan dan mendadak.
Perkara ini menarik perhatian doktor rasanya, sebab mereka antara yang
meminta kami menulis tentang perjalanan kami. Mungkin pesakit yang mengalami
penambahan berat badan tidak banyak, dan mungkin ada sesuatu yang kami lakukan berkesan.
Selainnya, ini antara usaha kami untuk membantu publik memahami
kewujudan penyakit 'rare' dan tidak ramai orang tahu ini. Rare-nya
penyakit ini sehinggakan ramai yang beranggapan suami terkena stroke berbanding
MND.
![]() |
| Motor Neuron sakit berkaitan antara otak dan saraf tunjang |
Apa itu Penyakit Motor Neuron?
Fahami yang sesungguhnya saya bukan doktor. Bukan juga pelajar
perubatan, apatah lagi pelajar sains tulen semasa di sekolah dulu. Apa yang di
tulis adalah berdasarkan pembacaan dan pengalaman menjadi 'care taker.'
Penyakit Motor Neuron (MND) juga dikenali sebagai, Penyakit Lou Gehrig, Amyotrophic Lateral
Sclerosis (ALS), adalah penyakit berkaitan dengan otak dan saraf
tunjang. Sakit ini menyebabkan saraf yang mengawal pergerakan badan tidak lagi
berfungsi, membuatkan maklumat yang dihantar dari otak ke anggota badan gagal
di sampaikan.
Hasilnya otot yang sepatutnya menerima pesanan tersebut tidak lagi
digunakan seterusnya menjadi lemah, susut dan kemudiannya hilang. Ia
mengakibatkan mereka menghadapi kesukaran untuk bergerak dan melakukan aktiviti
harian. Sakit ini memberikan impak kepada keseluruh badan beliau. Kedua kaki dan tangan serta badan suami lemah dan menyusut akibat kehilangan otot badan.
Aktiviti yang biasa kita lakukan setiap hari menjadi cabaran kepada
mereka. Aktiviti seperti mandi, memakai baju, makan, berjalan dari titik A ke
titik B dan tidur mengalami gangguan. Mereka perlu menggunakan tenaga dan
kekuatan yang lebih hanya untuk aktiviti itu.
Dalam masa yang panjang, badan pesakit akan menjadi kurus kerana otot-otot
yang hilang tidak dapat digantikan dengan cepat, sekaligus pesakit akan merasa
cepat penat, letih dan kekurangan tenaga.
![]() |
| Lagi banyak pergerakan lebih banyak tenaga digunakan |
Badan mereka bertindak seolah-olah seperti bateri, 10 bar bateri sehari. Setiap satu aktiviti akan mengambil satu bar bateri, lagi banyak pergerakan lagi banyak bar bateri habis.
Sebab itu, bagi saya seorang ‘care taker’ objektif pertama dalam
berjuang melawan penyakit ini adalah menjaga pemakanan dan pergerakan suami
seharian. Ambil perhatian tentang makanan apa yang memberikan tenaga dan
makanan mana yang menjadikannya lemah. Dalam kes suami, beliau tidak boleh
memakan makanan laut terutama sotong dan udang. Sotong dalam kuantiti sedikit
akan menyebabkan beliau berasa lemah dan perlu berehat lebih lama bagi
mengembalikan tenaga.
Saya juga perlu menjadi kaki dan tangan tambahan bagi membantunya dengan
aktiviti harian. Pergerakan motor halus menjadi semakin sukar. Membuka sampul
gula-gula atau roti anak menjadi aktiviti yang mencabar. Cawan atau
peralatan makanan yang berat tidak boleh digunakan, buku sekolah anak-anak yang
beratnya tidak sampai 1kg juga sukar untuk di angkat. Jika makanan itu
memerlukan suami menggunakan pisau pemotong, saya perlu membantunya memotong.
Malah, jarak berjalan suami tanpa alat bantuan berjalan juga semakin
pendek. Jika tahun lepas beliau boleh berjalan 100 meter, sekarang jarak tanpa
alat bantuan berjalan hanya sejauh 28meter. Suami juga perlu memakai ankle-foot
orthosis atau A.F.O bagi mengatasi masalah kaki terkulai atau foot
drop sejak 3 tahun lalu.
Itu semua adalah kesan-kesan jangka panjang penyakit namun, setiap orang
mempunyai progress sakit yang berlainan. Ada yang laju, contohnya progress
menjadi lebih teruk berlaku dalam tempoh 8 bulan, namun ada juga yang perlahan
atau amat perlahan yang mungkin memakan masa tahun. Tiada seorang pun pesakit
ini, mempunyai progress yang serupa.
Rata-rata mereka yang berusia 50 tahun ke atas mempunyai risiko lebih tinggi berbanding mereka di dalam linkungan 30-40 tahun. Namun, ini tidak bermakna mereka yang berada di bawah 50 tahun tidak berisiko langsung. Kebanyakkan pesakit adalah lelaki dan 1 daripada 100,000 orang berisiko untuk mendapat menyakit ini.
Simptom awal penyakit
Simptom awal sakit suami ialah ketika dalam perjalanan pulang dari kerja di KL Sentral beliau tiba-tiba jatuh. Insiden jatuh ini berlaku dua kali lagi, membuatkan suami berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca jatuh.
Pernahkah anda melihat jari-jari tangan seseorang bergerak dengan
sendirinya? Itu juga antara simptom awal sakit suami. Jari kanannya
bergerak-gerak sendiri.
Selain daripada itu, sesetengah otot di badannya mula bergerak sendiri sedikit-sedikit. Selalunya bahagian yang bergerak-gerak dengan sendiri ini akan menjadi lemah dan ototnya menjadi lembut.
Seorang pakcik juga pesakit MND PPUM, simptom awalnya ialah sakit tekak
dan selepas tiga tahun, beliau sudah tidak boleh bercakap. Seorang lagi lelaki
muda sebaya suami, simptom awalnya ialah kaki kanannya menjadi lemah, kini
selepas hampir setahun, beliau sudah kehilangan hampir 15kg, kedua kaki dan
tangannya juga telah menunjukkan impak yang teruk.
Nampak bukan, tiada persamaan dari segi simptom. Mungkin jika ada persamaan pun, menurut doktor pakar kami mereka ini aktif bersukan ketika muda. Tapi itu juga tiada kepastian.
Bersedia untuk lawan
Perkara pertama yang kami lakukan ialah memulakan bacaan. Orang kata, kalau hendak berlawan, kita kena tahu siapa lawannya. Itulah yang kami buat, kalau tidak suami yang lebih banyak membaca.
![]() |
| Mulakan perjuangan dengan membaca |
Bacaan tentang sakit ini banyak di internet, klik saja MND macam-macam info boleh kita baca. Forum MND yang ahlinya terdiri daripada pesakit seluruh dunia banyak membantu dalam memberi sokongan, perspektif dan makanan tambahan apa yang membantu dan mana yang tidak.
Membaca memberikan idea yang jelas tentang apa yang
berlaku. Sekurang-kurangnya, ia mampu meredakan kelodakan emosi terutama
ketika mula-mula di diagnos. Walaupun kebanyakkan bahan bacaan memberikan fakta
tentang kadar mortaliti tinggi di kalangan pesakit, namun sekurang-kurangnya,
mengetahui kebenaran dan bersedia menghadapinya adalah lebih baik dari tidak
bersedia langsung.
Ia memberikan ruang untuk berfikir, merancang perjalanan
seterusnya, menilai setiap tindakan dan membuat pilihan. Kita tidak mampu
melawan takdir yang Allah bentangkan, namun, kita masih mampu untuk membuat
yang terbaik untuk setiap ujian-Nya.
Oleh itu, perancangan jangka panjang diperlukan bagi pengurusan sakit
yang lebih efektif. Ketika mula-mula di diagnos, kami sekeluarga masih berada
di Sarawak. Selepas yakin dengan 2 diagnos yang dilakukan oleh doktor di
Hospital Kuching dan kemudiannya di PPUM, tindakan kami yang seterusnya ialah
mencari jalan agar dapat pulang ke Semenanjung.
Tindakan ini amat perlu memandangkan doktor di Kuching sudah memindahkan
kes suami ke PPUM. Lawatan ke hospital, fisio dan terapi pekerjaan diuruskan
oleh PPUM. Alhamdulillah, tidak lama selepas diagnos, kami mendapat peluang
berpindah ke semenanjung.
Selain itu, kami juga memastikan rumah tempat kami tinggal mesra MND.
Kebetulan selepas berpindah dari Kuching, kami perlu mencari rumah untuk
tinggal. Rumah baru kami mestilah tidak mempunyai tangga atau kedudukan lantai
yang tidak sekata. Jika ada pesakit yang tinggal di rumah dua tingkat, adalah
dinasihatkan untuk menyediakan bilik tidur baru di bahagian bawah. Ini bagi
mengelakkan mereka menggunakan tenaga yang ada untuk menaiki tangga. Ingat,
objektif utama adalah kebajikan suami dalam menguruskan tenaga.
Kami juga memaklumkan kepada majikan bagi memastikan perancangan
pekerjaan yang lebih berkesan. Suami amat bernasib baik, kerana mempunyai majikan
yang memahami dan tidak memaksa. Waktu kerja suami yang feksibel, memudahkannya
menguruskan waktu. Ini penting memandangkan suami perlu duduk dahulu di dalam
kereta selama 30 minit bagi merehatkan badan selepas memandu.
Saya kagum melihat kesungguhan suami mendalami penyakit MND seterusnya
merancang tindakan lanjut. Tetapi, yang lebih mengagumkan ialah melihatnya
redha dengan ketentuan Allah, kerana tanpa redha, keadaan kami mungkin tidak
sebaik ini sekarang.
Banyak yang kami lakukan bagi memastikan hidup berjalan seperti biasa
selepas diagnos. Apa yang dikongsikan di sini hanyalah sedikit. In sha ALLAH
dalam post lain, saya kongsikan.
End-
Anda sedang mencari translator (English-Malay-English) atau penulis.
Maklumat lanjut boleh menghubungi: v6.violett@gmail.com.




Comments
Post a Comment