Selamat Hari Guru
Selamat Hari Guru Tahun 2018
Masih saya ingat ketika di usia
remaja, ayah menerima sudu sebagai hadiah hari gurunya. Pada masa itu, saya
melihatnya sebagai satu bahan gurauan, kelakar namun ia tidak kekal lama. Saya
mula berfikir, jika seorang anak murid, hanya mampu memberikan sudu, semestinya
dia datang dari keluarga yang susah. Pengajaran daripada itu, jauh lebih besar.
Nilai pemberian lebih besar dari nilai hadiahnya.
Kedewasaan ini, seperti sudah
menjadi trend, pemberian hadiah adalah perkara yang perlu ketika majlis guru.
Ia bukanlah satu isu yang besar, melainkan jika si anak ini menjadi tertekan
kerana terpaksa memberi, namun keluarganya tidak mampu. Bukanlah bermakna pihak
sekolah menjadikan isu pemberian hadiah kepada guru satu kewajipan, namun, si
anak rasa perlu untuk memberi kerana ingin berterima kasih dengan guru yang
mendidiknya.
Sifat berterima kasih
![]() |
Kad hari guru yang dibuat oleh anak saya kepada guru kelasnya |
Ejen Perubahan
Samaada percaya atau tidak, guru
merupakan ejen perubahan di dalam diri anak-anak. Pekerjaan pertama saya ketika
mula-mula memasuki alam pekerjaan adalah sebagai Jurulatih Khidmat Negara
(PLKN). Tanpa banyak pengalaman, saya menerima tawaran tersebut, namun,
pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat, berjaya merubah pandangan saya
mengenai seorang guru sebagai ejen perubahan.
Tidak habis belajar, tamat
sekolah seawal tahun 6, tidak tahu membaca atau merangkak-rangkak, terlibat di
dalam kegiatan gangster dan masalah moral lain, antara portfolio pelajar saya.
Dari rasa takut di pukul dan dicederakan, saya bertukar menjadi pemberi
motivasi kepada anak-anak ini untuk berubah kepada lebih baik apabila habis
PLKN nanti. Adakah saya tahu yang saya akan menjadi ejen perubahan? Tidak.
Dengan tiada persediaan mental yang kuat, kurang pengalaman, saya berjaya
membantu mereka untuk merubah. Itu adalah saya, bagaimana pula dengan guru-guru
yang sememangnya di latih untuk mendidik ini.
Pendorong Kejayaan
Beberapa tahun yang lepas, saya
terbaca artikel bagaimana seorang guru di Amerika berjaya mendorong seorang
selebriti terkenal memahami apa yang menjadikan seorang guru itu hebat. Beliau
percaya seorang anak murid itu secara semula jadi mahu belajar tetapi di dalam
masa yang sama, perasaan ingin tahu meraka perlulah di penuhi. Mereka perlu
belajar sesuatu yang baru setiap hari, mencipta projek kreativiti yang menarik,
memerlukan tugasan, arahan, dan yang paling penting mereka mahu sesuatu yang
menyeronokan.
Pemahaman ini mendorong beliau
untuk menjadi ibu yang baik kepada anak-anaknya. Baginya ibu bapa dan
masyarakat harus berganding bahu memberi kerjasama supaya guru mampu
mencurahkan kreativiti, ekspresi dan kepimpinan dalam membentuk generasi masa
hadapan. Ini secara tidak langsung membantu pelajar untuk mempunyai hubungan
yang baik dengan gurunya. Guru dapat mengalirkan keyakinan di dalam diri
pelajar dan seterusnya menjadi pendorong kepada kejayaan pelajar tersebut.
Pembakar Semangat
Di sebalik kejayaan pasukan
sekolah (tidak kisahlah jenis pertandingan apa pun), pasti ada tulang belakang
yang berkerja keras di dalam membantu membentuk kejayaan ini. Beberapa minggu
yang lepas, ketika sedang menunggu salah seorang anak saya berlatih taekwondo,
berdiri berdekatan tempat saya menunggu, terdapat seorang guru wanita sedang
mengajar anak-anak muridnya berlatih bola jaring.
Dari bahasa badannya, jelas
beliau sedang cuba sedaya upayanya melatih. Jeritannya begitu kuat, begitu juga
dengan semangatnya. Perhatian saya bertukar dari memerhatikan anak saya kepada
beliau sepenuh masa.
Ketika sudah selesai latihan
taekwondo, beliau juga berhenti untuk memberi laluan kepada anak buahnya
berehat. Yang menjadikan saya kagum, dia masih mampu tersenyum dan bergurau
dengan mereka, walaupun tadi beliau sudah banyak menggunakan tenaga menjerit,
melompat dan berlari. Saya mengambil peluang mendekatinya, dan beliau telah
menjelaskan yang perlawanan bola jaring akan berlangsung beberapa hari lagi. Dari
semangatnya, jelas yang beliau yakin dengan kemampuan anak muridnya. Dan, dari
apa yang saya perhatikan, anak muridnya juga begitu.
Sentiasa Dikenang
Guru yang paling dekat di dalam
diri kita adalah ibu bapa kita sendiri. Mereka merupakan model pertama yang
kita ikuti, yang kita patuhi dan apabila memasuki alam persekolahan,
pembelajaran dan penerimaan ilmu itu menjadi lebih luas.
Di dalam diri kita, sememangnya
akan ada guru yang sentiasa di kenang. Guru mengajar hampir semua yang kita
ketahui dari alam formal. Daripada belajar ABC, origami kepada perkara yang
lebih kompleks apabila memasuki dunia pembelajaran orang dewasa nanti.
Jasa dan pengorbanan seorang guru
sebenarnya terlangkau luas dari apa yang kita perolehi. Doa dan kesungguhan
seorang guru tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit, apatah pengorbanannya.
Guru seperti ini, akan hidup sebagai guru seumur hidup mereka. Ia menjadi
rujukan dan dorongan pelajar untuk berjaya di dalam kehidupan mereka.
Untuk tahun 2018, di doakan
kepada semua guru, kebahagian dan kesejahteraan di dalam menempuhi alam
perguruan. Guru ibarat lilin, yang menyinar menerangi kegelapan. Selamat hari
guru di ucapkan!
(Kepada Guru Darjah 1 Zamrud yang mengajar anak saya Bahasa English, Happy Teacher’s Day to you too).
Comments
Post a Comment